Teringat juga saya tentang perkataan-perkataan tertentu yang hanya difahami oleh orang kita tetapi tidak membawakan makna yang sama dalam bahasa atau budaya lain, misalnya dalam lagu dendangan Kumpulan Ahli Fiqir, "dua kali lima" (atau "lima kali dua") yang membawa logik kesamaan walaupun cara yang berlainan -- Kalau dialihbahasakan jadi "two times five" mungkin langsung tak difahami akan maksudnya.
Untuk menjimatkan masa pengucapan atau penaipan misalnya, perkataan "belanjawan" itu sendiripun diringkaskan kepada "bajet" kini yang terus diambilpakai dari Tun Dr Mahathir ("Tun M") hinggalah Dato Seri Abdullah Badawi (atau, secara "bajetnya", "Pak Lah" kini). Selari dengan tema penjimatan tersebut, perkara-perkara besar Bajet 2008 (yang dibentangkan petang semalam) yang diambil perhatian oleh rata-rata rakyat ialah penjimatan-penjimatan yang bakal diraih sepanjang tahun depan dan seterusnya.
Menganalisa penjimatan-penjimatan tersebut, ada tiga perkara yang menarik perhatian saya, yakni yang memberi kelegaan kepada kita rakan-rakan pekerja pajama atau usahawan:-
- Pengurangan cukai untuk pembelian komputer baru dan kos akses jalur lebar. Ini nyatalah antara kos utama untuk perniagaan di rumah menelan belanja beberapa ribu ringgit untuk setiap buah komputer dan lebih seribu ringgit setahun untuk langganan jalur lebar seperti TMNET Streamyx, Digi Edge atau Maxis/Celcom 3G. Akhbar The Star menjudulkan perkara ini sebagai "creating a knowledge-based society". Saya lebih gemar dengan judul "creating more productive entities" selari dengan kegemaran pengguna Internet untuk menjadi pengeluar kandungan, bukan sahaja sebagai penggarap ilmu.
- Kesihatan rakyat: Ini cukup menarik! Semalam, semasa saya menghadiri bengkel pelan perniagaan (yang kelima bagi saya dalam masa tiga tahun ini!) yang dikelolakan oleh MDEC, PDC dan USM, Datin Sharifah Sheha selaku penyelia sesi mengingatkan tentang isu kesihatan temasuklah pemakanan dan penyenaman yang sihat untuk membolehkan kita mencerna idea perniagaan yang baik. Hadiah untuk rakyat bermula tahun 2008: Pengurangan cukai sebanyak RM300 untuk membeli alatan sukan dan senaman! Reket badminton dan tenis dah ada. Mungkin saya akan beli alatan untuk weight training dan/atau kasut sukan yang baik...
- Pengurangan cukai korporat sebanyak 1% setahun bermula dengan 27% untuk tahun 2007 sampai 25% untuk 2009. Terjawablah permintaan ramai peniaga dan pemilik perniagaan nampaknya.
Syabas untuk "Pak Lah and team" di Kementerian Kewangan untuk Bajet yang mengurangkan tekanan mental dan fizikal, yakni menyihatkan rakyat...
No comments:
Post a Comment