Thursday, March 22

Lebih mudah, pulangan lumayan

TANPA tekanan kerja serta tidak perlu menghadapi jalan sesak ketika dalam perjalanan ke pejabat, menyebabkan ramai mempertimbangkan untuk mencari persekitaran kerja baru.

Bekerja di rumah adalah persekitaran kerja yang baru. Pastinya lebih mudah sekiranya pekerjaan sekarang boleh dilakukan dari rumah.

Ia lebih selesa dan tidak perlu memandu ke pejabat. Tidak mustahil untuk melakukannya tetapi ia bergantung juga kepada jenis pekerjaan.

Jika seseorang berupaya untuk memikul tanggungjawab dan melakukan tugas hanya dari pejabat sendiri di rumah, dapatkan kebenaran dan cari cara untuk berkomunikasi dengan bos dari rumah. Banyak kemudahan canggih disediakan bagi memudahkan komunikasi.

Sekiranya pekerjaan sekarang tidak membenarkan seseorang berbuat demikian, bertukar kerjaya adalah pilihannya.

Bagaimanapun, pada permulaan, pulangan yang diterima mungkin tidak lumayan seperti pekerjaan sebelum ini. Oleh kerana itu, seseorang mungkin perlu mengubah tabiat perbelanjaan untuk sementara waktu.

Jika tidak sanggup melepaskan pekerjaan sebelum ini, seseorang boleh mempertimbangkan melakukan kerja dari rumah separuh masa dengan tujuan menjana pendapatan tambahan.

Memang agak memenatkan apabila melakukan dua pekerjaan sekali gus. Jadi, buat perancangan dan pertimbangkan segala faktor sebelum membuat keputusan membuat dua kerja serentak.

Pada masa sama, disebabkan ramai berazam mencari pendapatan tambahan, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan dan memperdaya orang ramai dengan pelbagai iklan pekerjaan sampingan di rumah.

Biasanya, syarikat terbabit menjanjikan pulangan lumayan dan akan meminta bayaran tertentu daripada mereka yang berminat sebelum memulakan kerja dari rumah. Jika berminat, pastikan syarikat itu benar-benar wujud.

Sementara itu, beberapa kerjaya seperti membuka pusat jagaan harian, tutor, penulis sambilan atau pembuat barang kraf tangan adalah tugas yang lebih sesuai dilakukan di rumah.

Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak misalnya mampu menjana keuntungan tinggi dan dapat dijadikan sebagai kerjaya tetap.

Peluang untuk mengusahakan pusat itu sentiasa ada disebabkan ramai ibu bapa berkerjaya masa kini yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sana.

Tip Kelebihan bekerja di rumah:-

  • Bekerja dari rumah adalah pilihan pekerjaan yang memberi persekitaran baru. Banyak kelebihan dapat dilihat tetapi sebelum memulakannya, pastikan membuat perancangan terlebih dahulu.

  • Untuk permulaan, pulangannya mungkin tidak begitu lumayan dan jika tidak sanggup menghadapi risiko itu, cuba lakukannya untuk separuh masa sementara kekal dengan pekerjaan sekarang.

  • Walaupun banyak iklan bekerja dari rumah disiarkan, pastikan syarikat terbabit benar-benar wujud dan menawarkan pekerjaan yang diiklankan itu.

  • Perkara ini penting kerana ketika ini, banyak syarikat mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang bersungguh-sungguh untuk menjana pendapatan tambahan menerusi kerja sambilan di rumah itu.



Petikan artikel yang disiarkan oleh Akhbar Harian Metro bertajuk "Lebih mudah, pulangan lumayan"

Oleh Siti Fatimah Hassan ( sfhassan@hmetro.com )
Harian Metro (www.emedia.com.my )

No comments:

Post a Comment

Latest Feeds

Pajama Enterprise

Pajama Reading

Latest Malaysia Feeds

Micro Jobs

Pajamanation

Watch this!