Thursday, January 3

Rojak RTM: Futej

Siaran media (TV & Radio) nasional, RTM tampaknya terus-terusan ingin mewartakan kepada orang kita betapa wacananyalah yang mempelopori perkembangan bahasa Melayu (atau bahasa Malaysia mengikut Menteri Penerangan semasa, Dato Seri Zainuddin Maidin, selaku pegawai kerajaan yang bertitah untuk saluran rakyat terbitan RTM... Kalau sebelum ini, kita dilemparkan dengan kosa kata tunggang terbalik ala pasembor seperti "infotaimen" (yang kemudiannya ditukar kepada "inforia" hasil gesaan ramai/DBP, kononnya nak lawan dengan "sureheboh" TV3 -- yang juga kemudiannya ditukarkan kepada "jom heboh"), berita perdana jam 8 hari ini pula berkali-kali mengulangi perkataan baru untuk rakyat Malaysia: "futej" yang kononnya sesuai dipinjamkan dari perkataan bahasa Inggeris "footage".

Kreatif? Misalnya "coffee" dijadikan "kopi" -- cukup menjimatkan huruf! Dan "budget" tak lama dulu dicadangkan oleh Tun M, bekas Perdana Menteri Malaysia, untuk dieja sebagai "bajet", lebih ringkas daripada perkataan "belanjawan" (boleh disilapfahamkan sebagai "tukang belanja" kalau dibandingkan dengan perkataan seperti "usahawan" dan "angkasawan") misalnya.

Tapi mungkin tukang kreatif RTM tak cukup faham bahasa Melayu! Yang menjadikan bahasa Melayu tulisan Jawi unik, tak "sebijik" macam bahasa Arab ialah penggunaan beberapa huruf yang tak ada dalam huruf-huruf Arab: "p" (misalnya, orang Arab mengeja "Pepsi" sebagai "bibsi" dan "pound (Ib)" sebagai "bound", "cha" ("jim" bertitik tiga) dan "nga" ("'ain" tiga mata kalau dilawakkan ikut Tan Sri P Ramlee). Justeru, perkataan "coffee" dimelayukan menjadi "kopi", bukan "kofi" atau akan berbunyi seperti perkataan pinjaman Arab: misalnya "fasik" atau nama orang seperti "Faruk" atau "Fatin".

Berbalik kepada perkataan "futej", mungkin, pemelayuan yang betul menjadikan "footage" sebagai "putej", bukan "futej"! Lagipun, kalau digugelkan (di"google"kan), perkataan "Futej" boleh disilapfahamkan sebagai nama keluarga ("surname") untuk orang-orang misalnya di Republik Slovak - Malah, ada syarikat guaman di Slovakia yang didaftarkan sebagai "Futej & Partners"! (Nak kena saman kot RTM ni!!)

Hmm, tapi "ferry" kenapa jadi "feri" dan tak pula jadi "peri"? Apa nak buat... Terlanjur perahu boleh diundurkan, terlanjur kata, rosak bahasa ibunda!

Untuk pakar-pakar bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, apa saranan anda? Kalau mengikut kaedah semasa, nampaknya, belum ramai yang menggunakan perkataan "putej" atau "futej" sebagai pinjaman untuk perkataan Inggeris "footage", jadi kita masih perlu tunggu lama dan lihat. Pilih-pilih! "Mari kita tengok SIAPA yang kena..."

No comments:

Post a Comment

Latest Feeds

Pajama Enterprise

Pajama Reading

Latest Malaysia Feeds

Micro Jobs

Pajamanation

Watch this!